Jumat, Mei 01, 2009

Warkah Buat Istriku

Assalamualaikum warahmatullah…
Keagungan Tuhanmu mengatasi segalanya. Oleh itu patuhilah segala perintahNya lantaran kau terpilih dijadikan cuma sebagai hamba dan jauhilah laranganNya untuk menunjukkan kasihmu terhadapNya. Perhatikan segala amanahNya buatmu kerana amanahNya perlu kau dahulukan daripada amanah makhluk-makhlukNya. Selamatlah dirimu tika mana kau memilih jalan Taqwa dan meninggalkan perangkap maksiat dan kehinaan. Istriku! berimanlah dikau dengan Allah yang Maha Agung. Yakinilah pada ajaran dan sunnah Rasulullah saw. Berpeganglah pada dustur yang mengajarmu tentang tarekat hidupmu lantas katauhidanmu akan mengikat Taqwa dan imanmu terhadap penciptamu. Yakinilah bahawa setiap perkhabaran para Rasul itu benar sekalipun berita yang di bawa itu bukan cuma berita gembira.

Istriku,

Engkau adalah anak pasca alaf kemodenan. Paling tidak engkau adalah generasi akhir zaman. Oleh itu janganlah engkau sia-siakan zaman mudamu dengan hiburan dunia yang melekakan. Penuhilah dadamu dengan ilmu. Tidak rugi engkau menjadi seorang yang berilmu seperti beberapa tokoh serikandi Islam yang pernah melakarkan sumbangan mereka terhadap Tamadun Islam.

Lihat saja Saidatina 'Aisyah .a yang terdidik oleh Madrasah Rasul. Dia betah menjawab persoalan-persoalan yang diajukan lantaran kefaqihannya yang terbukti. Mengimbaskan nosstlgia Saidatina Khadijah .a pasti kita terpana akan perngorbanannya yang sukar untuk ditandingi. Pun begitu menyorot kezuhudan dan agung kasih serta cintanya terhadap Ilahi tentu sahaja engkau pernah mendengar akan nama Rabiatul Adawiyah. Kesemua mereka itu adalah wanita. Beruntunglah engkau duhai istriku jika engkau menyusuli jejak mereka. Aku sengaja menampilkan peribadi-peribadi tadi bukan untuk menghasut cemburumu, malah aku mahukan engkau menaladeni jejak mereka. Tidak salah untukmu terjun ke medan jihad kerana ikhlasmu untuk menegakkan agama Allah. Aku tidak mengajar engkau untuk takut akan mati syahid. Pernahkah engkau mendengar kalam seorang mujahid tentang perjuangan?

Telah berkata As-Syeikh Abdul Qadir Audah: "Jika aku dipenjarakan kerana perjuangan suci ini. Aku boleh beruzlah. Jika aku dibuang daerah. Aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh kerana perjuangan yang benar ini maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang syuhada'."

Berbicara soal perjuangan merupakan suatu realiti kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan. Perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kekufuran terhadap Ilahi. Perjuangan menundukkan hawa nafsu yang sering meronta di dalam diri. Perjungan di titian kesabaran mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan. Perjuangan mendidik diri menjadi seorang hamba dan perjuangan untuk merintis serta mengembalikan kedaulatan Daulah Islamiah yang telah lama hilang. Ya… itulah tugas utama kita. Itulah amanah yang perlu kita lunaskan semenjak kejatuhan Khilafah Islamiah Turkey Uthmaniah pada tahun 1924M. Maka sehinggalah perjuangan murni itu mencapai noktahnya yang entah bila janganlah engkau menyimpangkan diri dan hatimu dari terus bersama dalam ribat Jamaah Islam.

Istriku,

Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat Saidina Ali k.w jadikanlah dirimu laksana semulia Fatimah al-Zahra'. Aku nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah Fazari .a. diriwayatkan bahawa ia telah berkata kepada istrinya pada hari perkahwinan anaknya, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu.Jadilah engkau tanah bagi suamimu (dengan mentaat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebaninya dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar suamimu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja daripada dirimu.

Kehidupan berumah tangga adalah amanah sebenarnya. Bukan sekadar pengkongsian kebahagiaan semata-mata malah berkongsi segalanya sehinggalah manusia menyedari tanggung jawab masing-masing sebagai suami isteri. Taatilah suamimu dalam taqwamu terhadap Allah. Janganlah sesekali engkau menderhakai suamimu. Ingatlah wahai istriku sesungguhnya Baginda Rasul saw pernah bersabda: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup." Usahlah engkau merasa pilu dengan perkhabaran-perkhabaran tadi. Persiaplah dirimu kerana walaupun kebanyakan penghuni neraka adalah dari kalangan wanita lantaran mereka dari golongan wanita-wanita yang jahat. Namun masih ada ruang untuk wanita mendapat syurga. Jadilah wanita yang baik. Jadilah wanita yang mentaati perintah Tuhan dan suaminya. Jadilah wanita yang menjadi ibu yang baik.

Istriku,

Puisi ini untukmu…

Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai
Sesucinya hatimu seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah

Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Berkat asuhan ayah bonda

Kaulah serikandi ummah
Akhlakmu permata diri
Peliharalah maruah dan budi
Nescaya kaulah yang bernama
Wanita Sejati
Kebanggaan ayah bonda…


Istriku,

Barangkali engkau sudah bosan membaca warkahku ini. Aku tidak pasti bilakah masanya engkau bakal membaca warkahku ini. Kalau engkau membacanya a aku masih di sampingmu maka anggaplah ini pesanku buatmu wahai istriku.

Untuk mengakhiri warkahku ini aku juga ingin berpesan sebagaimana Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya…

Telah berpesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, "Sepanjang hidupku. Aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-

"Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka jagalah baik-baik fikiranmu.
Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandanganmu.
Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidahmu.
Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai dan adabmu.
Ingatilah kepada Allah s.w.t.
Lupakan budi baikmu terhadap orang lain.
Lupakanlah semua kesalahan orang lain terhadapmu.
Sentiasalah mengingati mati."



Glosari:

Dustur - pegangan
Tarekat - jalan, cara
Muyul - cenderung
Kalbu - hati
Muhim - penting
Aham - lebih penting
Ghalib - kebiasaan
Ajnabi - orang asing, bukan mahram
Ikhtilat - pergaulan, hubungan
Ribat - kesatuan
Isti'dat - persediaan
Imtihan - peperiksaan

Tidak ada komentar:

Posting Komentar